Seorang lagi penduduk Kampung  Sungai Ular mengorak langkah memulakan perniagaan untuk menambah pendapatan sampingan keluarga. Puan Rohana dan suaminya, Encik Ramlee yang lebih dikenali sebagai Poklie telah membuka warung membuat roti canai dan minuman air tebu. Kebiasaannya warung roti canai dibuka pada waktu pagi,  tetapi Kak Ana dan Poklie mengambil inisiatif untuk membuka warung roti canai ini pada sebelah petang bermula pada pukul 2.00 petang sehingga 6.30 petang. Tambahan lagi pada musim hujan ini, komuniti yang ingin menikmati kelazatan dan keenakan roti canai yang diusahakan oleh pemilik warung tersebut boleh terus ke lokasi warung yang terletak bersebelahan pondok bas dan berhadapan dengan simpang masuk jalan perkuburan Kampung Sungai Ular. Komuniti juga boleh terus menghubungi talian www.wasap.my/60198032362 untuk membuat sebarang tempahan.

 

Salah seorang lagi usahawanita Kampung RTP Sungai Ular telah mengorak langkah menceburi bidang perniagaan iaitu dengan membuat perusahaan Karipap Frozen. Perusahaan ini diusahakan oleh Puan Nur Safarah, di mana beliau telah menempatkan produk ini di kedai-kedai runcit di kawasan felda. Selain itu juga, beliau turut membuat tempahan kuih untuk dihantar ke kedai-kedai makan di kawasan sekitar kampung dan juga tempahan ke masjid.

Berbekalkan semangat untuk menambah pendapatan keluarga, Puan Zalina Idris, iaitu salah seorang ahli PI RTP Sungai Ular telah membuka gerai goreng pisang bersebelahan dengan pondok bas, terletak tidak jauh dari pusat internet. Beliau bukan sahaja menjual pisang goreng, malahan telah menambah masakan lain seperti keropok lekor, cempedak goreng (mengikut musim), bebola ikan, nugget dan air. Gerai beliau telah menjadi tumpuan komuniti setempat atau juga orang-orang luar yang singgah memandangkan gerai tersebut berada di kaki jalan raya alternatif menuju Kuala Lumpur. Gerai Puan Zalina beroperasi pada setiap hari bermula jam 12.00 tengahari sehingga 6.00 petang kecuali hari Sabtu adalah cuti rehat.

Seiring dengan peredaran masa sekarang, ramai golongan belia mengambil kesempatan menjalankan perniagaan untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan. Tidak terkecuali pemuda yang diberi nama Che Zulkarnain Bin Che Ismail ini. Beliau menjalankan perniagaan menjual Teh Ais Pyor dan Ayam Goreng Cheese Seringgit di tepi-tepi jalan. Berikutan itu, tapak jualan beliau adalah tidak statik. Adakalanya beliau mengambil tempahan untuk sebarang bentuk keraian seperti kenduri, jamuan dan lain-lain. Komuniti yang ingin merasai kehebatan dan kelazatan Teh Ais Pyor dan Ayam Goreng Cheese Seringgit boleh terus menghubungi beliau di talian www.wasap.my/6017922801 .

Kali ini PI RTP Sungai Ular menjejaki salah seorang lagi usahawan yang berpotensi dalam memajukan perniagaan Encik Nazmil Ahmad. Perniagaan ikan patin dan talapia sangkar ini bertapak berdekatan dengan kediaman beliau di Kampung Keledek. Memandangkan di kiri kanan kediaman beliau terdapat anak sungai yang bersih, beliau telah mengambil peluang itu untuk membuat sangkar sekaligus telah membela ikan patin dan talapia. Bagi komuniti yang ingin merasai nikmat ikan patin dan talapia yang segar, boleh hubungi beliau di talian 013-9907448 atau boleh juga terus berkunjung ke kediaman beliau untuk melihat sendiri sangkar ikan tersebut.