Merujuk kepada artikel keratan akhbar bertarikh 8 Mac 2022 oleh Fernando Fong di The Rakyat Post, pihak JPNP ingin memberi ulasan lanjut tentang penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan untuk ke Taman Eko-Rimba (TER) Mossy Forest.
Pihak JPNP telah membuat pengumuman untuk membuka semua kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal di Negeri Pahang mulai 7 Mac 2022 (Isnin).
 
Susulan pembukaan tersebut, JPNP telah memaklumkan bahawa pengunjung yang ingin ke TER Mossy Forest wajib mendapatkan perkhidmatan ejen pelancongan di daerah Cameron Highlands. Justifikasi pelaksanaan ini adalah berdasarkan perkara-perkara berikut:
i. Terdapat kejadian tanah runtuh di Jalan masuk ke stesen VHF Gunung Brinchang yang juga merupakan jalan akses ke TER Mossy Forest semasa musim tengkujuh pada bulan Disember 2021 yang telah menyebabkan jalan tersebut merbahaya kepada kenderaan biasa dan pemandu yang tidak mahir di jalan tersebut;
ii. Keadaan jalan akses ke TER Mossy Forest termasuk kawasan tanah runtuh tidak sesuai untuk kenderaan biasa. Bagi keselamatan dan keselesaan pengunjung, hanya kenderaan lasak (4WD) yang boleh digunapakai untuk ke TER Mossy Forest;
iii. Tempat parkir kenderaan di TER Mossy Forest adalah sangat terhad. Untuk tujuan kawalan trafik di kawasan tersebut, JPNP menyarankan agar pengunjung mendapatkan perkhidmatan ejen pelancongan dalam bentuk "car pool"; dan
iv. Penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan akan menjamin keselamatan para pengunjung, terutamanya semasa melalui kawasan berisiko tinggi (tanah runtuh dan jalan terputus).
Untuk rekod, pakej yang ditawarkan oleh pihak ejen pelancongan untuk ke TER Mossy Forest adalah berdasarkan harga pasaran dan permintaan semasa.
Penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan untuk ke TER Mossy Forest adalah tindakan sementara sahaja sehingga jalan akses telah dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya dan selamat digunakan.