Bandar Kuala Lipis memang kaya dengan tinggalan bangunan bersejarah era penjajah British abad ke-19 selain keindahan alam semula jadinya yang dikelilingi hutan rimba dan sungai yang masih belum tercemar. Sehubungan itu, status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah masih terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan yang dijalankan Majlis Daerah Lipis (MDL). Menyingkap sejarah lampau, bandar ini pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 sebelum berpindah ke Kuantan yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini. Kuala Lipis dijadikan pusat pemerintahannya ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.
Antara bangunan yang masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920). Tinggalan lain yang masih kukuh ialah kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda 1900 yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara. Bangunan-bangunan zaman British ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan Britsih sebelum dan selepas merdeka.
Pembangunan Bandar Lipis juga dikaitkan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti di Taman Rimba Kuala Kenong, Merapoh, Kuala Terenggun, Taman Rimba Kemahang, Program Inap Desa Kuala Medang dan beberapa destinasi lain yang menarik. Kuala Lipis memang sesuai sebagai destinasi program day tour kerana di sini terdapat banyak tinggalan sejarah dan menjadi transit pelawat yang berkereta api ke Taman Negara, Kelantan seterusnya Thailand. Pembangunan bandar Kuala Lipis juga sejajar dengan perancangan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berasaskan bidang agro pelancongan dan ekotourism dengan mengeksploit artifak sejarah, pertanian, kebudayaan dan kesenian untuk menarik pelawat ke daerah itu.
Selain melihat bangunan bersejarah, pelawat atau pelancong juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai tempat habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semulajadinya. Kuala Lipis menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada pelancong seperti hotel, Rumah Rehat Bukit Residen dan Rumah Rehat Tanjong Lipis yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hidangan makanan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar.
Pihak berkuasa tempatan di sini dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan sedang giat mempromosi daerah ini malah menobatkan Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah di Pahang. Antara usaha mempromosikan bandar Kuala Lipis termasuklah menganjurkan Karnival Lipis, Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang dan menjadi tuan rumah program pameran serta seminar pertanian dan pelancongan sepanjang tahun ini. Orang ramai juga turut bekerjasama mengekalkan kebersihan bandar Kuala Lipis sebagai usaha membantu mempromosi daerah ini untuk tarikan lebih ramai pelancong datang ke Kuala Lipis.
Sumber : Muzium Kuala Lipis