BULI SIBER (CYBER BULLY)
7 Februari 2023 merupakan tarikh Hari Keselamatan Internet Sedunia yang digazetkan bagi membuka mata seluruh dunia tentang isu keselamatan dunia maya yang berasaskan teknologi, internet dan elektronik.
Topik viral yang hangat diperbincangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia pada masa kini ialah ‘Buli Siber’. Ayat buli di sini merujuk kepada tindakan yang sama dengan maksud asal, tetapi dilakukan di dalam medium dan aspek fisiologi yang berbeza. Buli Siber adalah di antara topik yang diberi perhatian, di dalam usaha kerajaan meningkatkan kesedaran tentang buli siber, terutamanya pengetahuan terhadap aspek perundangan yang masih rendah di kalangan masyarakat Malaysia. Malah, jumlah pembuli siber yang semakin meningkat sejak akhir ini menjadi dilema sosial yang baharu di dalam negara.
Buli Siber ialah apa sahaja perlakuan atau aktiviti yang mengeksploitasi seseorang termasuk mengancam, mengugut, memakukan, memberikan kenyataan yang kurang menyenangkan dan mengirim berita atau gambar palsu bertujuan untuk memfitnah seseorang yang dilakukan oleh individu atau kumpulan, dengan menggunakan teknologi dan peranti elektronik sebagai platfom melancarkan tindakan mereka.
Tindakan ini juga termasuk apa sahaja komen atau maklum balas yang dilontarkan secara maya di media sosial, blog, forum, e-mel dan medium lain yang berkenaan, tidak kira siapa pelaku atau mangsanya, sama ada marhaen, figura politik atau selebriti, kesatuan dan sebagainya.
Kesan daripada buli siber ini mencakupi aspek psikologi dan fizikal yang mampu merosakkan reputasi seseorang baik pada masa kini ataupun masa hadapan. Mangsa akan mengalami gangguan psikologi dan emosi yang serius pada ketikanya, menghadapi tekanan perasaan yang tinggi, termasuk perasaan takut, tegang, marah dan lebih kritikal lagi apabila mengalami kemurungan. Di dalam keadaan yang ekstrem, tindakan buli siber boleh menjurus kepada kes bunuh diri seperti beberapa kes yang dilaporkan di media massa sebelum ini.
Hakikatnya, rakyat Malaysia dilindungi oleh akta yang spesifik menerangkan tentang perlakuan buli siber ini. Menurut Seksyen 233(1), Akta Komunikasi dan Multimedia, jika sesiapa yang menjadi mangsa ke atas tindakan buli siber, boleh menuntut perlindungan daripada akta ini apabila kes diadukan kepada pihak berwajib iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan setahun penjara.
Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan mempunyai nilai kebudayaan yang tinggi harus memainkan peranan di dalam menghentikan tindakan buli siber ini. Tiba masanya kita harus bertindak melalui kuasa perundangan untuk menangani gejala sosial yang meresahkan ini.
‘Katakan Tidak Kepada Buli Siber’
Disediakan Oleh: Nur Diana binti Abd Latif
No Matrik : 290438
335906171 199098236142642 6668823068673292246 n