KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
173,000 remaja 12 – 17 tahun Pahang mula terima suntikan vaksin COVID-19 bermula 20 September
Sukacita saya umumkan, kira-kira 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang, akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin berkaitan COVID-19 pada 20 September ini.
 
Keutamaan ialah kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun, serta yang berusia 12 hingga 15 tahun yang bermasalah kesihatan. Turut menjadi keutamaan ialah remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) dari institusi-institusi pemulihan dan perlindungan, serta remaja golongan rentan termasuk gelandangan.
 
Selain remaja dalam kalangan pelajar dari sekolah-sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), yang turut terlibat ialah dari sekolah-sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi-institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
 
Kesemua mereka akan menerima suntikan masing-masing di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan, di bawah penyelarasan Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat-pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Sepertimana disyaratkan, remaja-remaja ini perlu mengisi borang kebenaran ibubapa atau penjaga, sebelum dibenarkan menerima suntikan.
 
Kepada bakal penerima suntikan serta ibubapa atau penjaga terlibat, saya berharap dapat berikan kerjasama sebaik-baiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan kita, yang boleh membantu menangani penularan wabak COVID-19 ini.
 
DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
17 September 2021