SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Daerah yang kini terkenal sebagai tanah kelahiran biduanita Dato' Sri Siti Nurhaliza ini merupakan sebuah bandar perlombongan emas yang dibuka oleh British pada tahun 1887.

Menurut cerrita orang tua dahulu kala, nama Kuala Lipis ini berasal daripada perkataan 'Kolepas' yang bermaksud kuala yang membolehkan rakyat bebas ke sana ke mari.

KEISTIMEWAAN

Daerah ini mempunyai banyak bangunan dengan senibina yang menarik. Jika ingin melihat senibina ala British, Kuala Lipis adalah tempatnya. Ini kerana Kuala Lipis pernah menjadi ibu negeri Pahang sehingga tahun 1955, sebelum ibu negeri dipindahkan ke Kuantan.

Antara tempat ikonik di Kuala Lipis adalah Batu 0 yang terletak berhampiran dengan Pejabat Pos. Batu ini merupakan penanda aras sukatan jarak di negeri Pahang.

MAKANAN

Juadah yang terkenal di Kuala Lipis adalah Nasi Kebuli, singkatan kepada nama Nasi Ke Bawah Duli. Mengikut cerita rakyat sekeliling, Nasi Kebuli ini telah dicipta oleh seorang individu yang bernama Hussin pada tahun 1944 sewaktu rombongan diRaja telah singgah ke Kuala Lipis dan ingin menjamu selera. Hussin selaku tukang masak telah menghidangkan nasi tumis bersama ayam kampung.

AKTIVITI

Kuala Lipis adalah tempat yangg amat sesuai untuk mereka yang menggemari dan menghargai seni bina lama. Di sini terdapat banyak bangunan lama yang masih cantik binaannya seperti rumah lama residen British, Sekolah Clifford dan Bangunan Kelab Pahang.

Selain itu, Kuala Lipis juga mempunyai sebuah muzium Warisan Lipis yang menarik isi kandungannya dan sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Sumber Sejarah : Majlis Daerah Lipis