Kampung Keledek adalah salah sebuah kampung yang terdapat di daerah Kuala Lipis. Pada asalnya, Kampung Keledek adalah sebuah hutan yang sangat tebal. Sehinggalah pada suatu hari,beberapa orang penduduk kampung cuba meneroka hutan tersebut untuk dijadikan tempat bercucuk tanam. Ketika mereka membersihkan hutan tersebut,tiba-tiba mereka terjumpa sebiji keledek yang sangat besar.
Melihatkan saiz keledek yang sangat besar, mereka begitu terkejut dan cuba untuk mengalihkan keledek itu. Namun, usaha mereka tidak berhasil. Mereka tetap mencuba berkali-kali dengan menggunakan cangkul dan sebagainya.Tetapi anehnya apabila mata cangkul terkena pada keledek itu,cecair berwarna merah seakan-akan darah mengalir keluar daripada keledek itu.Yang lebih mengejutkan lagi, tiba-tiba keledek itu bergerak-gerak dan terus bergolek menuruni bukit lalu terjatuh kedalam lubuk yang berhampiran. Apabila melihat kejadian yang aneh itu, mereka menama kan tempat itu sebagai Kampung Keledek. Tetapi sehingga ke hari ini, tanaman ubi keledek tidak menjadi.