Edu

IPOH: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Hitam di Chemor dekat sini mengambil inisiatif mewujudkan 'tandas pintar' susulan pelaksanaan projek penyelenggaraan tandas sekolah oleh kerajaan.

Guru Besar sekolah berkenaan Aslinda Saari berkata dua tandas di sekolah itu yang sudah diselenggara menerusi peruntukan RM70,000 daripada Kementerian Pendidikan dilengkapkan dengan mesin pengimbas pengecaman frekuensi radio (RFID), kamera litar tertutup (CCTV), pili inframerah dan televisyen.

Katanya kelengkapan tandas berkenaan dibiayai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang bernilai kira-kira RM3,000.

"Mesin pengimbas RFID digunakan bagi mengutip data murid yang masuk ke tandas manakala pili inframerah membolehkan air keluar apabila tangan dihalakan di bawah pili dan ini dapat menjimatkan penggunaan air berbanding pili biasa," katanya ketika ditemui Bernama.