Muzium ini pada asalnya adalah sebuah Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) yang terletak di Bukit Bius. Selain itu, rumah berkenaan juga merupakan sebuah monumen bersejarah untuk tarikan pelancong dan tatapan generasi pada masa akan datang.
Kediaman itu yang dibina pada 1920 begitu sinonim dengan bekas Perdana Menteri ke-6, iaitu YAB Dato' Sri Najib Bin Abdul Razak kerana ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein pernah mendiami rumah itu sewaktu bertugas sebagai SUK ketika Kuala Lipis menjadi ibu negeri Pahang sejak 1898. Apa yang menarik lagi, beliau juga telah dilahirkan di kediaman tersebut pada 23 Julai 1953 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.
Rumah dua tingkat itu mempunyai reka bentuk seni bina Melayu 'Palladian,' berbumbung tradisional Melayu manakala ukiran pada pintu dan dinding memaparkan motif Barat.
Kediaman itu dilengkapi beberapa buah bilik yang dibina menggunakan kayu hutan bermutu tinggi dan tahan lama tanpa boleh dirosakkan oleh anai-anai dan haiwan pemusnah lain.
Gaya seni bina kediaman itu bercirikan Eropah dan Melayu dengan reka bentuk tingkap yang banyak bagi memperoleh suasana udara Bukit Bius yang nyaman.
Rumah berkenaan mempunyai dua bilik tidur yang luas di kiri dan kanan termasuk bilik mandi yang luas. Selain itu, rumah tersebut turut dilengkapi dengan ruang untuk keluarga berkumpul di bahagian anjung manakala ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur tetamu terletak di tingkat bawah.
Sebuah garaj kereta dibina agak jauh dari ruang utama rumah berkenaan manakala rumah pekerja iaitu amah dan tukang kebun dihubungkan dengan jalan berbumbung ke ruang dapur di bahagian belakang kediaman itu.
Namun begitu, kediaman tersebut telah dibaikpulih menerusi Projek Konservasi dan Arkeologi dari Jabatan Warisan Negara yang bertujuan untuk pemuliharaan dan sebagai khazanah sejarah dan perspektif pembangunan pelancongan di daerah ini.
Muzium Warisan Sejarah itu menempatkan artifak sejarah daerah Lipis, bangunan kolonial, Kesultanan Melayu Pahang, tokoh politik, pejuang kemerdekaan, pentadbir kerajaan, penggiat seni, makanan dan pakaian tradisional Melayu dan sejarah perlombongan emas di daerah ini.
Sumber dari Majlis Daerah Lipis