Hipertensi merujuk kepada tekanan di dalam salur darah yang tinggi secara berterusan (sistolik sama dengan atau melebihi 140 mmHg dan/atau diastolik sama dengan atau melebihi 90 mmHg).
 
Pengambilan garam melebihi saranan merupakan antara faktor risiko utama hipertensi. Purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 7.9 gram bersamaan 1.6 sudu teh sehari (MyCoSS 2019). Jumlah ini melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram atau bersamaan 1 sudu teh sehari.
 
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai melakukan saringan kesihatan melalui Insiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI). Disamping fasiliti kesihatan KKM, program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), Klinik PeKA B40 dan Farmasi Komuniti, menyediakan perkhidmatan saringan secara meluas di seluruh negara. Pihak PERKESO juga menawarkan baucar bagi pekerja sektor swasta untuk mendapat saringan percuma bagi pencarum yang layak.
 
Kerjasama ini diharapkan dapat memberi impak positif yang tinggi kepada sistem perkhidmatan kesihatan melalui pengesanan dan perawatan awal dan pencegahan komplikasi akibat hipertensi.