Lemang yang juga merupakan antara makanan wajib dihidangkan kepada tetamu pada Hari Raya Aidilfitri cukup enak dinikmati bersama kuah kacang atau rendang. Pada hari biasa, memang sukar mencari lemang untuk dinikmati dan tidak ramai yang rajin memasaknya memandangkan proses membuat makanan tradisional ini agak sukar kerana perlu mencari buluh, pulut, santan dan kayu api atau sabut kelapa untuk membakarnya. Pada zaman dahulu, lemang hanya dihidangkan pada musim-musim perayaan sahaja. Namun, peredaran zaman telah mengubah tradisi ini yang mana lemang boleh dihidang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Antaranya ketika jamuan, kenduri perkahwinan ataupun dinikmati pada waktu petang. Ramai yang suka makan tapi tak pandai nak buat kerana mengambil masa yang sangat lama untuk menyiapkan juadah lemang tersebut. Sekarang penggemar lemang tidak perlu risau lagi untuk menikmati juadah tersebut pada bila-bila masa kerana ramai penjual lemang di luar sana telah mengusahakan lemang secara offline dan juga online. Di samping itu juga ramai penjual lemang sekarang membakar lemang secara moden, iaitu menggunakan dapur gas yang mana lemang masih lagi dimasak di dalam buluh setelah pulutnya dikukus, cuma cara membakar sahaja diubah daripada menggunakan kayu api kepada penggunaan dapur gas.

Berbeza dengan salah seorang pemuda kampung RTP Sungai Ular ini yang membakar lemang secara tradisional. Beliau telah berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan sahaja bermula tahun 2016. Tempahan lemang yang diterima juga sangat menggalakkan terutamanya pada musim perayaan dan juga musim kenduri-kendara.