Melon merupakan sejenis buah-buahan yang berasal dari Afrika Tengah. Ianya berongga dan mempunyai banyak biji di dalamnya. Pokoknya menjalar seperti tembikai, manakala buahnya berat dan mengandungi air yang banyak. Buah Melon juga berbau harum dan amat manis apabila masak. Kuala Medang bioFarm merupakan pengusaha melon yang diberi nama "Medang Melon" yang telah diusahakan di Kuala Medang, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Penanamannya adalah berkonsepkan fertigasi (kelompok) dibawah Projek Champion E-Kasih Daerah Kuala Lipis yang diketuai oleh Encik Rosdi, hasil bimbingan daripada Jabatan Pertanian Daerah Lipis dan mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah dan FAMA Lipis.

 

Perusahaan Membuat Makanan Ringan

Sebuah bangunan untuk memproses makanan ringan telah ditubuhkan di RTP Sungai Ular bertujuan untuk membantu kaum wanita menambahkan pendapatan sampingan. Bengkel ini telah diusahakan oleh lima orang wanita tempatan. Mereka telah dibekalkan dengan peralatan seperti mesin membancuh tepung untuk membuat kuih-muih tradisi untuk menghasilkan produk dengan cepat dan mudah. Hal ini kerana setiap kali musim perayaan menjelang, mereka tidak menang tangan menerima tempahan dari segenap kawasan. Antara produk yang dihasilkan oleh mereka ialah tempeyek, karipap rangup, kuih peneram, kerepek pisang, kuih lidah buaya dan kerepek ubi kayu. Lebih membanggakan lagi, produk-produk ini telah pun dipasarkan di kedai-kedai tempatan dan juga koperasi felda. Di samping itu juga, Pengerusi WI Kuala Lipis sentiasa membuat tempahan hampir setiap bulan untuk dipasarkan ke cawangan Jerantut. Produk-produk ini juga bakal dipasarkan di pasaran luar negeri Pahang hasil bantuan daripada Persatuan Wi RTP Sungai Ular. 

 

Perusahaan Madu Kelulut

Produk terbaru yang dihasilkan oleh salah seorang penduduk tempatan di sini ialah mengusahakan ternakan kelulut dan menjual hasil madu yang diperolehinya. Pengusaha tersebut ialah Nurul Shazwani Binti Mohd, berusia 26 tahun, anak kelahiran Kampung RTP Sungai Ular dan juga suami beliau, Mohd Nasir Bin Osman, berusia 37 tahun . Bermula dengan hanya sekadar minat untuk menternak dan pasaran produk ini hanyalah kepada penduduk setempat sahaja, kini beliau telah memasarkan produk madu kelulut dengan lebih meluas melalui penggunaan media sosial. Produk ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya masyarakat luar yang kebanyakannya menempah madu tersebut melalui dalam talian.

 

Perusahaan Sambal Hitam Pahang

Bermula untuk memenuhi tempahan daripada kawan-kawan sekitar tempatan, Sambal Hitam Pahang yang diusahakan oleh suri rumah ini, Puan Muslimah Binti Othman, kini produk beliau telah dipasarkan ke luar seperti negeri Perlis dan Pulau Pinang.