Majlis Penyerahan Kedai PKPP RTP Sg. Ular, Lipis telah disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar, Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Jelai dan Pengerusi PKPP kepada usahawan PKPP. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dif-dif Kehormat, Ketua-ketua Jabatan, Agensi-agensi, Pengurusan PKPP, JKKK RTP Sg. Ular dan para tetamu.

Keprihatinan YAB. Menteri Besar dalam membantu usahawan luar bandar khususnya di RTP Sg. Ular diterjemahkan dengan pembinaan kedai ini yang melibatkan kos berjumlah RM472,001.00 melalui peruntukan yang disalurkan oleh KPLB. PKPP selaku agensi rangkaian KPLB diamanahkan sebagai agensi pelaksana untuk projek ini.

YAB. Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada 4 usahawan PKPP, tabung khas RM3,000 kepada JKKK RTP Sg. Ular manakala satu unit mesin pengadun 10L kepada seorang usahawan PKPP.

Sebelum majlis berakhir, YAB. Menteri Besar berkesempatan melakukan lawatan ke kedai usahawan bagi melihat perniagaan yang diusahakan. Semoga inisiatif dan sokongan yang diberikan oleh Kementerian dan Kerajaan Negeri dapat membantu usahawan dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi luar bandar.