Terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kerana telah memperakui Daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan menerusi Mesyuarat Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausahanya, semalam.
Selaras dengan perakuan ini, Daerah Lipis dikenali sebagai Lipis Geopark bermula 9 November 2023.
Lipis Geopark yang berkeluasan 5,198 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan Daerah Lipis di Negeri Pahang dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan 6 tapak warisan biologi adalah Geopark Kebangsaan yang terbesar di Malaysia buat masa ini.
 
Antara tapak di Daerah Lipis yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan seperti:
i. Galeri Aspirasi Lipis Geopark,
ii.Geotapak bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub,Jujukan Perms-Trias Gua Bama, dan Kuala Sungai Lipis),
iii. Geotapak bernilaiGeopelancongan (Ketakselarasan Gua Tahi Bintang, dan Gua Sisik Naga),
iv. Biotapak(Taman Negara Sungai Relau, Taman Eko Rimba Sg Yu),
v. Tapak Budaya (Stesen Keretapi Lipis, Bangunan Majlis Daerah Lipis, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford),
vi. Pendidikan (SMK Merapoh), dan
vii.Komuniti (Perkampungan Orang Asli Pos Betau).
 
Pelaksanaan Lipis Geopark ini adalah selari dengan draf perancangan Blueprint
Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) untuk menjadikan Pahang sebagai destinasibertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).
Dengan pengiktirafan ini, membuktikan pembangunan di Daerah Lipis berupaya menjadi sebuah tapak mesra warisan dan alam sekitar serta seterusnya berpotensi sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf antarabangsa.
Tahniah dan syabas kepada semua pihak terutamanya Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) yang telah berusaha menjadikan Daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan.
Saya juga berharap penglibatan yang aktif oleh komuniti tempatan dan pihak berkepentingan, menjadikan wilayah Geopark Lipis berada di landasan yang tepat bagi diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2025.
 
YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
10 November 2023