Lembah Tanum, Kuala Lipis, Pahang yang memiliki lebih 15 gua batu kapur dengan keunikan bentuk dan warna dinding gua, sedia menerima kehadiran pelancong sepanjang tahun.

Terdapat kira-kira 300 gua batu kapur di Lembah Tanum namun setakat ini hanya 15 sahaja berjaya diterokai penggiat aktiviti pelancongan di daerah berkenaan yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Di kawasan Lembah Tanum terdapat Kampung Felcra Sungai Temau, Kampung Chegar Perah, Kampung Felda Chegar Perah, Kampung Kubang Rusa dan Kampung Orang Asli Paya Keladi@Kepong.

Setiap kampung memiliki produk istimewa masing-masing yang mampu menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.

Antaranya persembahan kebudayaan seperti tarian piring, kraf tangan kayu, silat Melayu dan makanan tradisional yang menjadi sajian istimewa zaman silam.

Eko pelancongan yang dibangunkan memberi pendapatan tambahan kepada komuniti setempat termasuk kira-kira 20 pemandu pelancong terdiri daripada golongan belia yang menjadikan aktiviti berkenaan sebagai kerja sambilan.

Antara gua yang terdapat di Lembah Tanum ialah Gua Merah, Gua Temalong, Gua Betik, Gua Sisik Naga dan Gua Tahi Bintang.

Sungai Tenum yang mempunyai jeram memberi peluang kepada pelancong untuk berkayak mengikut kemampuan.

Sokongan yang diberikan kerajaan negeri, Central Forest Spine (CFS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Lembah Tanum.

Baru-baru ini seramai 25 pengamal media tempatan menyertai Ekspedisi Lembah Tanum Koridor Ekologi CFS selama empat hari.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, Datuk Harizah Hassan, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dan Ketua Seksyen CFS JPSM, Rusli Tahir.

Menurut Harizah, Lembah Tanum memiliki produk pelancongan yang begitu unik yang mampu menarik minat pelancong untuk datang sambil mengikuti setiap aktiviti diadakan.

"Saya tertarik melihat persembahan sewang dan kraf tangan masyarakat Orang Asli. Malah pelancong yang datang ke kampung mereka disambut dengan mesra selain menyediakan cenderahati dalam bentuk produk buluh.

"Kerjasama erat antara penduduk di setiap kampung dalam kawasan Lembah Tanum begitu membanggakan, mereka menghasilkan makanan tradisional seperti dodol gula kabung, sambal hitam, gulai kawah, dodol kukus tabor tahi minyak dan kuih bahulu," katanya.

Beliau menambah, kemudahan perhubungan menggunakan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh dan kereta api memudahkan lagi pelancong untuk sampai ke Lembah Tanum yang turut tersimpan peninggalan sejarah penjajah suatu ketika dahulu.

Katanya, sampai saja Lembah Tanum tidak akan lengkap sekiranya pelancong tidak ke Taman Negara Sungai Relau, Merapoh yang menyediakan 'Tree top walk' sepanjang 612 meter iaitu laluan berjalan kaki dengan ketinggian antara lima hingga 23 meter daripada paras tanah selain terdapat enam menara.

Bagi Rusli pula, CFS bertanggungjawab membantu dalam memajukan lagi Lembah Tanum dalam eko pelancongan yang mampu memberi pendapatan tambahan pada masyarakat setempat.

"Kita menganjurkan kursus asas bahasa Inggeris dan asas keusahawanan kepada komuniti eko pelancongan Lembah Tanum baru-baru ini.

"JPNP dan JPSM membantu dari segi sokongan melalui pembangunan produk eko pelancongan dalam kawasan landskap koridor ekologi CFS C-PL1, Hutan Simpan Sungai Yu dan Hutan Simpan Tanum secara mampan di bawah projek IC-CFS.

"Selain itu, komuniti juga menjadi landskap kawasan berkenaan kerana mereka adalah penduduk asal di kawasan terbabit," katanya.

Tambahnya lagi, masyarakat setempat turut terbabit dengan program penanaman pokok yang diusahakan oleh jabatan bagi menambah pendapatan daripada produk eko pelancongan di luar kawasan hutan simpan kekal dan landskap hutan CFS.

 Artikel MyMetro disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023