Penempatan Kampung Kuala Medang dibuka oleh suku kaum asli Semai pada tahun 1900. Nama Kuala Medang diberi berasaskan sebatang pokok medang yang saiz lilitannya begitu besar dan ditemui tumbuh di kuala sungai.Pokok kayu medang tersebut ditemui oleh suku kaum asli Semai dan menebangnya menggunakan kapak dan beliung. Segala kerja yang dilakukan mengambil masa selama empat puluh (40) hari. Pokok yang tumbang telah merentangi sungai dan dijadikan titi oleh penduduk-penduduk kampung.

Oleh kerana pokok tersebut terletak dipinggir kuala sebatang sungai, maka sungai tersebut dipanggil sungai Medang dan kampung ini pula telah diberi nama. Kuala Medang.

Pada tahun 1972, pihak LKPP Negeri Pahang telah membuka pula Penempatan Rancangan Pengumpulan Semula mangsa-mangsa banjir (PRPS) . Pada tahun 1986 pula, YB. Kol (K) Dato' Hj. Omar bin Hj. Othman DSAP., DIMP., PJN, telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi mmbuka pula penempatan Perumahan Awam  Kos Rendah Kerajaan (PAKR).

Sumber.
Perpustakaan Desa Kampung Kuala Medang

kg mela

Kampung Mela atau disebut Meler terletak dalam Daerah Kuala Lipis Mukim Cheka. Kampung Mela merupakan kampung paling hilir Sungai Jelai yang berakhir di Kampung Kuala Tembeling. Ada lagi kampung yang paling hilir sekali iaitu kampung Tanjung Bungor.

Kampung Mela terdiri dari beberapa subkampung lagi seperti Kg Mela Tengah, Kg Selang Dato’, Kg Hilir, Kg Atil, Kg Serunai, Kg Temunga, Kg Serdang, Kg Talus, Kg Bungor, Kg Chagah, Kg Gemunchur, Kg Ganding, Kg Temetong, Kg Limau Purut yang terkenal dengan bomoh atau tabib patah, dan Kg Jeram Landak.

Kampung Mela merupakan salah sebuah perkampungan yang berada dalam Mukim Cheka 1. Lokasinya terletak 32 km dari Bandar Jerantut dan 38 km dari Bandar Kuala Lipis. Keluasan kampung ini dalam lingkungan 833 hektar dengan bentuk muka buminya yang berbukit-bukau. Perkhidmatan Kereta api Tanah Melayu yang menghubungkan Daerah Tumpat ke Singapura turut melalui kawasan perkampungan ini.

Penduduk di kampung ini menjalankan kehidupan seharian secara sederhana dan jalinan hubungan sesama penduduk kampung yang baik mewujudkan sebuah perkampungan yang aman dan damai. Penduduk di kampung ini mengekalkan adat resam Melayu yang mementingkan adat sopan dan saling menghormati antara satu sama lain. Amalan ini yang menjadi salah satu keistimewaan yang terdapat pada penduduk di kampung ini.

Siapa yang buka Kampung Mela pada tahun 1600?
Penduduk Pahang Barat atau Hulu Pahang (Daerah Lipis) semasa zaman Kesultanan Melaka penghuninya majoriti terdiri daripada orang Asli, di samping sebilangan kecil orang Melayu keturunan Melaka, dan orang Melayu keturunan Minangkabau.

Orang Minangkabau datang mencari penempatan baru, selain berdagang juga melombong emas. Manakala orang keturunan Melaka datang bertujuan mengislamkan orang Asli.
Keluarga Orang Kaya Maharaja Perba Jelai (Tok Raja) juga mula berhijrah ke Lipis sejak 1592 lagi.

Semasa dalam perjalanan menuju ke Lipis, seorang keturunan bangsawan Melaka bernama Tun Behur telah berhenti di satu tempat membuat penempatan. Orang mula menamakan kampung itu Kampung Behur. Nama Behur susah disebut. Orang mula menyebut Belur. Tidak lama kemudian disebut Melor pula.

Akhirnya disebut Mela. Hingga sekarang kubur Tun Behur masih mudah di jumpai di Mela. Ada pendapat mengatakan Tun Behur membuka Kampung Mela lebih awal mungkin sebelum tahun 1600.
Bila orang Kelantan mula ramai berhijrah ke Lipis dan Kampung Mela ada yang menyebut Maele.

Cerita asal usul Kampung Mela ini telah diperturun secara mulut tradisi oral dari orang-orang tua zaman dulu kepada Pawang Jeransang.

ASAL USUL DAERAH KUALA LIPIS

Terletak pada pertemuan Sungai Lipis dan Sungai Jelai, Kuala Lipis mempunyai latar belakang sejarah yang boleh dibanggakan kerana ia adalah di antara tempat yang mula-mula didiami orang di Negeri Pahang Darul Makmur. Sebelum kedatangan orang Inggeris dalam tahun 1887, Kuala Lipis telah menjadi Pusat Perdagangan bagi emas, jelutung dan lain-lain hasil daripada hutan di sekitarnya. Orang Inggeris menjadikan Kuala Lipis Ibu Negeri Pahang Darul Makmur pada penghujung bulan jun 1898 menggantikan Pekan.

Pada 27 Ogos 1955, Ibu Negeri Pahang Darul Makmur dipindahkan ke Kuantan. Sebagai sebuah Bandar yang utama pada masa itu, orang Inggeris memulakan sekolah Inggeris dalam tahun 1913 dikenali dengan nama Sekolah Anglo Chinese. Pada tahun 1929 nama Sekolah Anglo Chinese ditukar kepada Sekolah Clifford sehingga ke hari ini sekolah ini menjadi sebuah insitusi pelajaran yang penting di Negeri Pahang Darul Makmur. Sekolah ini mendapat namanya daripada Sir Hugh Clifford, Residen British yang kedua di Negeri Pahang Darul Makmur yang tinggal di Kuala Lipis (Rumah Rehat Bukit Residen sekarang ini).

Perkhidmatan keretapi di Kuala Lipis bermula dalam tahun 1924 menyambungkan Kuala Lipis ke Johor Bahru di sebelah selatan dan Cegar Perah, kemudian perkhidmatan keretapi daripada Kuala Lipis disambung ke Tumpat Kelantan di sebelah utara.

Sumber : Pejabat Daerah dan Tanah Lipis

 

ASAL USUL KAMPUNG RTP SUNGAI ULAR

RTP Sg Ular menurut kisah sejarah orang Asli dahulu, kawasan RTP Sungai Ular yang telah dibuka menjadi ladang kelapa sawit asalnya dipanggil Lembah Kemai kerana kawasan di situ berkeadaan seperti lembah. Tetapi tidaklah dapat diketahui bagaimana namanya diberi. Kisah yang kedua pula, di mana seorang penduduk yang terawal telah meneroka tanah kawasan ini untuk membina penempatan dan telah menemui sungai yang bentuknya bagaikan ular yang dipalu-palu seperti dipukul, maka dari situ kampung ini mendapat nama Sungai Ular. Manakala RTP ialah singkatan untuk Rancangan Tanah Pemuda yang mana semua pemuda-pemuda yang menerokai tanah di kawasan ini menjadikan sebuah rancangan penempatan yang tersusun.

Pada asalnya nama kampung RTP Sungai Ular berasal dari nama sebatang anak sungai yang terdapat di kampung ini iaitu Sungai Ular. Kampung ini telah mula dibuka pada tahun 1969 oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan kemudiannya telah diambil alih oleh Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri pahang (LKPP) khusus untuk belia-belia dalam Daerah Lipis yang kemudiannya dinamakan Rancangan Tanah Pemuda (RTP).
Pada tahun 1973, kawasan perumahan telah dibina oleh pihak LKPP yang disediakan untuk setiap peserta. Maka setelah itu barulah peserta-peserta Rancangan Tanah Pemuda ini dibenarkan untuk mendirikan rumah tangga. Setelah beberapa tahun, jumlah peserta yang pada asalnya seramai 100 orang telah berkurangan menjadi 54 orang sahaja sehingga ke hari ini, kerana ada yang tidak mampu untuk menempuhi cabaran dan rintangan semasa penerokaan tanah di sini, tidak kurang juga ada  yang mendapat peluang pekerjaan di tempat lain.

Statistik terkini mengenai kependudukan di Kampung RTP Sungai Ular adalah semakin bertambah kerana sebilangan anak-anak peneroka telah kembali ke kampung untuk menjaga orang tua mereka yang telah uzur dan juga menolong mengusahakan tanah perladangan milik mereka. Pertambahan rumah juga berlaku kerana anak-anak peneroka ini telah memohon Bantuan Rumah Mesra Rakyat dan telah dibangunkan di sebelah rumah asal peserta LKPP.

Penduduk kampung RTP Sungai Ular juga dibantu oleh anak-anak muda yang masih lagi tinggal di kampung adan yang bekerja dalam daerah yang sama. Belia merupakan harapan bangsa untuk masa akan datang, yang akan menentukan corak kepimpinan yang tersendiri  dengan kemampuan membawa perubahan kepada masyarakat setempat. Maka, bagi  mewujudkan belia yang produktif yang mampu menghasilkan sesuatu yang berkualiti kepada penduduk setempat perlulah ada sokongan dan juga kerjasama. Di RTP Sg Ular, persatuan Belia 4B telah menubuhkan ahli-ahli dalam kalangan penduduk tempatan yang membolehkan mereka berkomunikasi antara satu sama lain dan dapat mengadakan aktiviti–aktiviti yang berfaedah.

 

Sumber: Dari orang perseorangan salah seorang penduduk kampung.

 

PETA LOKASI RTP SUNGAI ULAR

Terletak di pertengahan jalan pintas dari Kuala Lumpur ke Kelantan melalui Jalan Felda Tersang dan Felda Sungai Koyan. Ianya merupakan kawasan peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP). Oleh hal yang demikian, penempatan yang dibina adalah terancang.

Sumber : Google Maps

 

TAHUN

SEJARAH

Sejarah Awal Sebelum 1800 Masihi

1470M Hingga 1699M

  • - Diperintah oleh Raja-Raja Pahang berketurunan Raja Melaka dan Johor Riau.
  • - Orang Minangkabau yang berhijrah ke kawasan tebing sungai sekitar Hulu Pahang – mempengaruhi sistem politik dan budaya.
  • - Kewujudan emas antara faktor utama penghijrahan orang Minang ke  Hulu Pahang. Mereka dikatakan menghulu Sungai Muar dan mudek Sg Pahang.

TAHUN

SEJARAH ZAMAN BRITISH-PEMBUKAAN PEKAN LIPIS

1863

-Kuala Lipis dibuka oleh Orang Kaya Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang

1888

  • - Pusat jual beli di Kuala Lipis menjadi Pekan Lipis
  • - Deretan Kedai Kayu - oleh orang Cina
  • - Rumah Perahu & Rumah Rakit di Sg.Jelai - milik peniaga asing / tempatan
  • - Masjid tertua dibina iaitu Masjid Jamek Kuala Lipis (Masjid Lama)

1889

  • - Bermula sejarah pembangunan moden Bandar Lipis,penubuhan Pejabat Daerah dimulakan oleh British
  • - Pahang Club dibina, Tokong Thean  Hou

1898

- Kuala Lipis diisytiharkan sebagai ibu negeri Pahang

1890

- Pembinaan jalanraya (208km)  K.Lipis - K.Lumpur dengan Batu Tanda '0'

1910-1920an

- Hospital, Pejabat Pos, Sekolah Clliford, Gurdwara Sahib (1916), Kompleks Pejabat Kerajaan, Landasan Keretapi, Rumah Kediaman Residen, pembinaan berstruktur Bandar Lipis dan lain-lain telah dibangunkan.

Sumber : Persatuan Sejarah Daerah Lipis