Ianya bermula sewaktu Kuala Lipis menjadi ibu negeri Pahang pada than 1898 sehingga tahun 1955. Waktu itu, semuanya berpusat di sana baik dari segi pentadbiran, pendidikan, dan juga pengangkutan.

Wujudnya batu ikonik tersebut adalah bagi menandakan Kuala Lipis sebagai titik permulaan sukatan jarak bagi negeri Pahang Darul Makmur. Batu itu juga adalah simbolik kepada sejarah Kuala Lipis yang suatu masa dahulu pernah menjadi titik permulaan kemajuan di Pahang.

Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Pagar selepas banjir besar di kampung itu surut pada Rabu.

Penduduk kampung, Mohamad Hafiz Jalaluddin@Mohd Rashid, 41, memberitahu mengetahui kejadian itu daripada penduduk kampung ketika sedang membersihkan kediamannya yang terjejas akibat banjir sebelum bertindak mencari lokasi kapal terbabit.

Menurutnya, kapal berkenaan dipercayai tenggelam akibat ditembak berikutan terdapat kesan tembakan pada bahagian kapal tersebut. Malah turut ditemui kepingan tembaga dengan tulisan Vivian&Sonsc 16 0z yang merujuk kepada pengeluar salutan tembaga.

Sumber : Sinar Harian 

Medan Tangga ini terletak di hadapan jeti Sungai Jelai pada zaman dahulu. Medan ini juga merupakan tempat menjalankan perniagaan sebagai menambah pendapatan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar tersebut. Di sini jugalah lahirnya Pulut Rendang Arwah Tuan Hj Mahmud. Kemudian turun ke Arwah Hj Malik, dan kemudian diturunkan kepada Jamil Pulut. Hal ini kerana Jamil Pulut pernah bekerja dengan  Arwah Hj Mahmud.

Kini, Medan Tangga tersebut telah ditukar nama kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak sebagai tanda memperingati jasa beliau semasa menjadi pemimpin Daerah Lipis pada suatu ketika dahulu. Majlis penjenamaan semula ini dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail. Ia juga adalah bertujuan menjadi tarikan pelancong untuk mengunjungi Bandar Lipis pada masa akan datang.

  

Sumber :Facebook Kuala Lipis Daily Photo

Satu lagi sejarah peninggalan perang (pillbox) yang ditemui di kawasan Kampung Bukit Kota, Bukit Betong, Kuala Lipis,Pahang. Ia juga boleh dijadikan salah satu tarikan pelancongan. 

Lagenda Gua Bama - Antara mitos, khayalan dan fakta
 
Gua Bama nampak berbalam
Bukit Peninjau serawan jala
Macam mana hati tak goyang
Melihat adik menjeling manja
 
Bagi masyarakat tempatan - Penduduk Kampung Relong dan sekitarnya, Gua Bama biasa juga disebut Gua Relong tidak perlu dibuat pengenalan pengenalan lagi, malah beritanya tersebar melampaui perbatasan daerah dan negara. Namun demikian sedikit sahaja yang mengetahui cerita-cerita tertentu tentang gua ini, khususnya mengenai asal usulnya. Lantaran itu, disamping memberi sedikit gambaran gua ini kepada mereka yang ingin mengetahuinya, kami sertakan juga cerita lagenda mengenainya sekadar penyambung tradisi warisan belaka.
Terletak di sebelah timur Kampung Relong di atas kawasan kira-kira 20 ekar. Tingginya dianggarkan 800 kaki dari aras laut. Kalau memandu kereta dari Lipis ke Padang Tengku, bukit batu kapur ini dapat dilihat di sebelah kanan Jalan Persekutuan nombor 8. Terdapat dua bukit satu kecil (Jantan) dan satu lagi besar (Betina)
Orang-orang dahulu (Jaman Rentu) mempunyai cerita (versi) tersendiri mengenai “kejadian” gua ini. Menurut ceritanya asal gua ini adalah dari dua buah “bangunan” (rumah?) [Kini dikenali dengan Gua Jantan – kecil dan Gua Betina – besar]. Satu ketika berlangsung majlis perkahwinan yang cukup istiadatnya di dua buah rumah itu. Ketika itu lalu suatu makhluk yang dikenali sebagai Sang Kelembai (setengah tempat mengelarnya Sang Gedembai) dan ditegurnya majlis itu, lalu rumah-rumah itu menjadi batu. Bukti adanya majlis perkahwinan itu dapat dilihat didalam gua dimana batu-batu yang menyerupai orang bersanding, gong, katil, dan bantal boleh dijumpai.
Batu yang ditegur oleh Sang Kelembai itu membesar seperti yang kita dapati sekarang. Lama kemudian gua ini didiami oleh sekumpulan manusia kira-kira 200 – 300 orang diketuai oleh Malik (dipercayai dari Indonesia). Kemudian mereka didatangi oleh peniaga Cina bernama Serajut Gigi bersama keraninya Ramalingam. Persitiwa berikutnya ialah bah besar. Diibaratkan gua itu tenggelam hanya nampak berbalam-balam (riang-riang) dan tempat yang berhampiran yang masih belum tengelam ialah Bukit Peninjau. Tempat yang belum tenggelam ialah sebesar serawan jala. Kesanalah mereka pindah. Dari lagenda itu timbullah pantun berikut:
Bila banjir surut mereka yang menghuni Gua Bama kembali semula ke gua. Tidak lama kemudian sekumpulan penyamun / perompak yang diketuai oleh Haraman datang menyerang masyarakat yang mendiami Gua Bama ini dan tercetuslah peperangan. Lenyaplah kumpulan pertama penghuni Gua Bama. Generasi yang disurahkan di atas diganti pula oleh sepasang suami isteri Meradan (Medan) Salleh dan Mak Inang beserta empat orang puteri dan dibantu oleh Pendekar Yaman (penglima). Mereka mendiami kawasan sekitar gua. Dipercayai keturunan dari merekalah yang telah berkahwin dengan Tok Linggi (Pembuka Perkampungan Relong) dan pengikutnya sekitar tahun 1780’an.
Kehadiran Tok Linggi ini mempunyai bukti sejarahnya tersendiri dan bukan satu lagenda kerana masih terdapat makam Tok Linggi berhampiran Kuala Relong atau Bawah Binjai dan juga terdapatnya ‘terembe’ yang menunjukkan salsilah keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini. Malah majoriti yang mendiami Kampung Relong dan sekitarnya adalah dari keturunan Tok Linggi ini.
Nama Bama ini berkait rapat dengan seekor harimau penjaga kawasan Relong dan sekitarnya yang bernama Bujang Bama. Pawang pertama yang memeliharanya ialah Pawang Tamat. Harimau ini bergilir-gilir dijaga oleh Pawang-pawang sehinggalah Bujang Bama mati di Nenggiri, Kelantan. Tempat Bujang Bama ini diambil alih oleh oleh Bujang Hitam dan Tok Keghuh (masih ada sehingga kini). Tetapi sebelum Bujang Bama penjaga gua ini dikatakan seekor beruk besar. Dia bertugas menjaga Gua Bama dan sekitarnya.
Di puncak bukit batu kapur (Gua Bama) ini anda boleh mendapat pemandangan menyeluruh kawasan sekitarnya iaitu Kampung Relong, Bapong, Berchang dan Berang. Sekiranya bernasib baik atau anda seorang yang ‘istimewa’ anda boleh ketemu dengan padang rumput dan kolam mandi (tempat puteri bersiram). Anda juga boleh menjelajah dan bertemu dengan sesuatu yang menarik.
Di bawah, pertamanya, berhampiran di kaki tangga besi antara dua bukit batu kapur, terdapat satu lubang kecil (di gua Jantan) yang hanya boleh dimasuki oleh seorang yang sederhana saiz badannya. Lubang itu adalah bukaan kepada satu gua yang di dalamnya terdapat tempat orang bertapa. (Gua ini dinamakan Gua Bertapa) Manakala di belakang bukit batu kapur ini terdapat satu lubang gua yang besar yang diberi nama Gua Bama. Di sebelah kanan pintu gua terdapat tempat pembaringan Bujang Bama. Di sebelah dalamnya pula terdapat batu seperti orang bersanding, gong, katil dan susunan bantal, tetapi untuk sampai ke situ perlu membawa lampu suluh kerana keadaanya gelap. Di sebelah kiri pintu gua terdapat struktur seperti seekor gajah dan di dasar gua kita boleh bertemu dengan struktur seperti kura-kura. Oleh kerana itu lubang gua ini juga diberi nama lapang muzium. Mungkin masih ada lagi perkara yang belum dijumpai dan diketahui. Selain dari dua nama gua yang dinyatakan di atas (Gua Bertapa dan Gua Bama) terdapat beberapa gua yang lain iaitu, Gua Kepayang, Gua Gelap, Gua Belimbing dan Gua Mengesot.
Sumber : Facebook Page Lipis