SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Daerah yang kini terkenal sebagai tanah kelahiran biduanita Dato' Sri Siti Nurhaliza ini merupakan sebuah bandar perlombongan emas yang dibuka oleh British pada tahun 1887.

Menurut cerrita orang tua dahulu kala, nama Kuala Lipis ini berasal daripada perkataan 'Kolepas' yang bermaksud kuala yang membolehkan rakyat bebas ke sana ke mari.

KEISTIMEWAAN

Daerah ini mempunyai banyak bangunan dengan senibina yang menarik. Jika ingin melihat senibina ala British, Kuala Lipis adalah tempatnya. Ini kerana Kuala Lipis pernah menjadi ibu negeri Pahang sehingga tahun 1955, sebelum ibu negeri dipindahkan ke Kuantan.

Antara tempat ikonik di Kuala Lipis adalah Batu 0 yang terletak berhampiran dengan Pejabat Pos. Batu ini merupakan penanda aras sukatan jarak di negeri Pahang.

MAKANAN

Juadah yang terkenal di Kuala Lipis adalah Nasi Kebuli, singkatan kepada nama Nasi Ke Bawah Duli. Mengikut cerita rakyat sekeliling, Nasi Kebuli ini telah dicipta oleh seorang individu yang bernama Hussin pada tahun 1944 sewaktu rombongan diRaja telah singgah ke Kuala Lipis dan ingin menjamu selera. Hussin selaku tukang masak telah menghidangkan nasi tumis bersama ayam kampung.

AKTIVITI

Kuala Lipis adalah tempat yangg amat sesuai untuk mereka yang menggemari dan menghargai seni bina lama. Di sini terdapat banyak bangunan lama yang masih cantik binaannya seperti rumah lama residen British, Sekolah Clifford dan Bangunan Kelab Pahang.

Selain itu, Kuala Lipis juga mempunyai sebuah muzium Warisan Lipis yang menarik isi kandungannya dan sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Sumber Sejarah : Majlis Daerah Lipis

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama bagi negeri Pahang Darul Makmur. Bangunan ini menempatkan Pejabat Residen British dan Pegawai-pegawai Pentadbiran bagi negeri Pahang di tingkat atas. Manakala di bahagian bawah pula merupakan Pejabat Kutipan Hasil dan Perbendaharaan Kerajaan British.

pada tahun 1952, Pejabat MB negeri Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan dibangunan ini. Di antara YB Setiausaha Kerajaan Pahang yang pernah berkhidmat di sini ialah Orang Kaya Syahbandar Pahang Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein dalam tahun 1952. Apabila ibu negeri pahang dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955, bekas pusat pentadbiran ini dijadikan Pejabat Majlis Daerah Lipis sehingga hari ini.

Sumber : Majlis Daerah Lipis

 

Kampung Keledek adalah salah sebuah kampung yang terdapat di daerah Kuala Lipis. Pada asalnya, Kampung Keledek adalah sebuah hutan yang sangat tebal. Sehinggalah pada suatu hari,beberapa orang penduduk kampung cuba meneroka hutan tersebut untuk dijadikan tempat bercucuk tanam. Ketika mereka membersihkan hutan tersebut,tiba-tiba mereka terjumpa sebiji keledek yang sangat besar.

Melihatkan saiz keledek yang sangat besar, mereka begitu terkejut dan cuba untuk mengalihkan keledek itu. Namun, usaha mereka tidak berhasil. Mereka tetap mencuba berkali-kali dengan menggunakan cangkul dan sebagainya.Tetapi anehnya apabila mata cangkul terkena pada keledek itu,cecair berwarna merah seakan-akan darah mengalir keluar daripada keledek itu.Yang lebih mengejutkan lagi, tiba-tiba keledek itu bergerak-gerak dan terus bergolek menuruni bukit lalu terjatuh kedalam lubuk yang berhampiran. Apabila melihat kejadian yang aneh itu, mereka menama kan tempat itu sebagai Kampung Keledek. Tetapi sehingga ke hari ini, tanaman ubi keledek tidak menjadi.

Pejabat pos ini terletak di Jalan Besar yang telah dibina pada tahun 1910.Perkhidmatan pos berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bangunan ini telah dikongsi dengan perkhidmatan ‘telegraf ’ iaitu salah satu perkhidmatan jabatan Telekom. Apabila agensi ini diswastakan sepenuhnya pada tahun 1989, perkhidmatan ini telah dipindahkan ke bangunan utama Telekom Malaysia sekarang. 

Pada mulanya pintu masuk ke pejabat pos ini menghadap ke jalan besar,namun pada tahun 1971 telah diubah tempatnya di kedudukan sekarang ini. Perkhidmatan ini mula diswastakan pada 1 Januari 1992 dan dikenali sebagai Pos Malaysia sehinggalah sekarang. Bangunan ini telah menjalani pelbagai pengubahsuaian hinggalah dinaik taraf yang terbaru pada tahun 2002. 

Hasil usaha pengurus cawangan dan kakitangan dalam mengindahkan kawasan dan memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada mesyarakat, pada tahun 2004 pos Malaysia cawangan Lipis telah diiktiraf sebagai pejabat pos terbaik di Malaysia. Salah satu keunikan tempat bersejarah yang terdapat di Kuala Lipis ialah batu bertanda ‘0’ berdekatan pejabat pos. Batu ini menandakan permulaan sukatan jarak bagi Negeri Pahang dimana jarak kosong bermula dari Kuala Lipis.

Sumber: Majlis Daerah Lipis

Muzium Warisan Sejarah Kuala Lipis terletak di Bukit Bius, Kuala Lipis, Pahang. Asalnya bangunan itu adalah bekas rumah kediaman Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang.

Beberapa galeri disediakan di Muzium arisan Sejarah Kuala Lipis seperti sejarah daerah Lipis, sejarah bangunan, sejarah penjajahan British dan sejarah Kesultanan Melayu Pahang. Sejarah lain turut dipamerkan ialah tokoh politik daerah, pejuang kemerdekaan daerah, makanan tradisional Lipis dan sejarah perlombongan emas daerah Lipis.

Rumah banglo dua tingkat ini dibina pada 1920-an. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ke-2 semasa menjadi SUK Pahang pernah mendiami rumah ini. Di bangunan inilah isteri Tun Razak, Tun Rahah Mohd Noah melahirkan Dato' Sri Najib Bin Tun Abdu Razak, iaitu bekas Perdana Menteri ke-6.

Bangunan tersebut salah satu di Kuala Lipis yang telah diwartakan sebagai bangunan warisan. Konservasi rumah berkenaan untuk dijadikan muzium dilakukan 13 Nov 2007 dan siap pada 12 Mei 2008.

Sumber : Majlis Daerah Kuala Lipis