Penduduk di RTP Sungai Ular masih mengekalkan acara tradisi untuk memasak juadah sebagai hidangan untuk tetamu yang datang di majlis perkahwinan. Tidak lengkap rasanya sesuatu majlis jika tiada para wanita yang membantu menjayakan majlis. Acara ini dilakukan secara bergotong-royong yang mana para bapa menolong melapah daging lembu. Manakala para ibu menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Para belia pula menolong menyiapkan khemah serta mengangkat pinggan dan cawan-cawan yang kotor untuk dibasuh. Tradisi ini masih diamalkan kerana sesuai dengan adat Melayu yang saling bekerjasama dalam sesuatu majlis. 

Persatuan Perkumpulan Wanita (WI) Cawangan RTP Sungai Ular dengan kerjasama Muslimat PAS Kawasan Cameron Highlands telah memberi sumbangan kepada salah seorang ahli WI yang mempunyai anak kecil menghidap penyakit jantung berlubang. Bayi tersebut baru berusia 4 bulan. Sumbangan ini adalah tanda keprihatinan daripada persatuan tersebut untuk membantu ahli mereka yang menghadapi masalah. 

Pada 6 Mei 2017 para sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) blok Sungai Ular telah menyertai Kejohanan Bola Jaring peringkat Daerah Lipis yang mana AIM telah mengumpul semua blok untuk menyertai kejohanan tersebut. Kejohanan ini telah diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Mela.

Sinonim dengan nama Pusat Internet 1Malaysia sebagai pusat pembelajaran ICT, maka pihak KEMAS Cameron Highlands telah mengadakan Bengkel Latihan Tahunan di Pi1M RTP Sungai Ular. Hal ini kerana kemudahan yang disediakan di pusat internet seperti komputer serta alat visual tayang (LCD) memudahkan lagi untuk bengkel tersebut dilaksanakan. Selain itu juga, ianya sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada para guru menggunakan komputer dengan mahir.