Pelbagai Aktiviti turut diadakan untuk memeriahkan lagi pakej yang diambil oleh mereka. Antaranya:-

1) Mandi bersama ikan

Para pelancongan boleh bermandi-manda bersama-sama dengan ikan yang dibiar bebas di Sungai Jelai.

2) Menaiki sampan dan berakit menyusuri Sungai Jelai

Aktiviti menaiki sampan untuk melihat pemandangan alam tropika yang  nyaman. Apa yang boleh diperhatikan di sini adalah pemandangan hutan dan juga kawasan pesisir kg di sepanjang Sungai Jelai ini.

3) Main gasing

Pertunjukan permainan gasing sering diadakan untuk tontonan para pelancong asing luar dan juga dalam negara.

4) Emping beras

Proses membuat Emping beras ini dipertontonkan kepada para pelancong kerana proses pembuatannya mempunyai keunikan yang tersendiri walaupun prosesnya memakan masa yang lama. Namun, kelazatan Emping Beras ini dapat dinikmati tanpa gagal.

5) Tarian tradisional

Para pelancong akan dipersembahkan dengan persembahan tarian tradisional oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah. Antaranya adalah Tarian Joget Pahang dan Tarian Sewan masyarakat orang asli.

6) Berkhemah di tebing Sungai Jelai

Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan oleh para pelajar sekolah yang mengikuti kem pelajar. Namun, para pelancong juga boleh menikmati aktiviti ini dengan dikawal selia oleh pihak yang bertanggungjawab. 

Selain dari itu banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan di homestay Kuala Medang ini misalnya melawat ladang rusa, mencuba madu kelulut, merasa masakan tradisional orang Pahang seperti pais lampam, ikan patin masak tempoyak, ulam-ulaman dan lain-lain lagi. Di kampung Kuala Medang ini juga terdapat hasil kampungnya tersendiri seperti pembuatan mee kuning dan juga sambal hitam yang sangat terkenal di negeri Pahang.

Rumahstay juga turut menjadi salah satu daripada kemudahan penginapan yang kami sediakan di kampung Kuala Medang. Rumahstay merupakan suatu konsep dimana sebuah rumah disediakan untuk disewa tanpa ada pakej makan dan minum. Harga yang ditawarkan bagi pakej ini adalah sebanyak RM250/rumah. Kelebihan pakej ini adalah pengunjung dapat tinggal di dalam sebuah rumah yang di sewakan khas untuk mereka tanpa perlu tinggal bersama tuan rumah seperti pakej Homestay.

Kuala Medang Kuala Lipis bukan satu nama asing lagi dalam kalangan pelancong-pelancong asing. Terletak dalam Mukim Hulu Jelai dengan jarak kira-kira 49 Kilometer dari Bandar Kuala Lipis. Bagi yang menggemari dan ingin menikmati keindahan alam semulajadi, di sini disediakan pelbagai pakej yang menarik . Selain itu juga, terdapat beberapa jenis penginapan yang boleh dipilih oleh pelancong terutamanya seperti pakej Homestay, Rumah Stay dan juga Cabin Stay.

KEJAYAAN DAN ANUGERAH YANG DIRANGKUL

Homestay Kuala Medang mampu meraih beberapa kejayaan di Peringkat Daerah, Negeri dan Kebangsaan walaupun ianya adalah sebuah perkampungan tradisional. Pelbagai anugerah telah dirangkul oleh Kampung Kuala Medang ini hasil penyertaan dari pelbagai pertandingan. Antaranya;

1. Pertandingan Peringkat Kebangsaan 2004 (Kategori Aspek Perniagaan Perindustrian dan Pelancongan)

2. Anugerah Pelancongan Malaysia (2005-2006) – Kategori Homestay Terbaik

3. Anugerah Belia Kebangsaan 2006 (Persatuan) – Johan 

4. Anugerah Pelancongan Malaysia (2008-2009) – Johan Homestay Berinovasi Peringkat Kebangsaan

5. Pertandingan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan (2008) Johan Kategori Homestay

6. Anugerah Belia Asas Tani 2010 Naib Johan Peringkat Kebangsaan

 Cabinstay

Antara jenis penginapan lain yang turut ditawarkan di Kampung Kuala Medang ialah Cabinstay. Terdapat 14 buah kabin untuk di sewa bagi mana-mana pengunjung yang berminat dengan pakej ini. Ciri-ciri unik serta keselesaan semasa tinggal di dalam kabin ini akan membuantan pengungjung berpuas hati terutamanya pada perabot yang disediakan.

CIRI-CIRI CABINSTAY

JENIS

CABINSTAY VIP

CABINSTAY JB

Bil Kabin

6 buah kabin

1 Queen Bed

8 buah kabin

3 buah kabin (1 queen bed)

5 buah kabin (2 single bed)

Harga

RM 80.00/malam

RM 80.00/malam

 

 

 

 

 

Homestay merupakan salah satu kemudahan penginapan yang kami sediakan di kampung Kuala Medang. Bagi pelancong asing yang ingin merasai suasana tinggal di dalam rumah kayu dan juga ingin menghirup udara segar, penginapan di homestay adalah suatu pilihan yang tepat untuk mereka. Selain itu juga, terdapat pelbagai aktiviti yang ditawarkan oleh pihak Pengurusan Homestay Kuala Medang untuk memuaskan hati para pelancong. Antaranya seperti menyusuri sungai, lawatan ke kilang IKS dan sebagainya dengan pakej 3 hari 2 malam berharga RM280/pack.

Bandar Kuala Lipis memang kaya dengan tinggalan bangunan bersejarah era penjajah British abad ke-19 selain keindahan alam semula jadinya yang dikelilingi hutan rimba dan sungai yang masih belum tercemar. Sehubungan itu, status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah masih terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan yang dijalankan Majlis Daerah Lipis (MDL). Menyingkap sejarah lampau, bandar ini pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 sebelum berpindah ke Kuantan yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini. Kuala Lipis dijadikan pusat pemerintahannya ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.

Antara bangunan yang masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920). Tinggalan lain yang masih kukuh ialah kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda 1900 yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara. Bangunan-bangunan zaman British ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan Britsih sebelum dan selepas merdeka.

Pembangunan Bandar Lipis juga dikaitkan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti di Taman Rimba Kuala Kenong, Merapoh, Kuala Terenggun, Taman Rimba Kemahang, Program Inap Desa Kuala Medang dan beberapa destinasi lain yang menarik. Kuala Lipis memang sesuai sebagai destinasi program day tour kerana di sini terdapat banyak tinggalan sejarah dan menjadi transit pelawat yang berkereta api ke Taman Negara, Kelantan seterusnya Thailand. Pembangunan bandar Kuala Lipis juga sejajar dengan perancangan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berasaskan bidang agro pelancongan dan ekotourism dengan mengeksploit artifak sejarah, pertanian, kebudayaan dan kesenian untuk menarik pelawat ke daerah itu. 

Selain melihat bangunan bersejarah, pelawat atau pelancong juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai tempat habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semulajadinya. Kuala Lipis menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada pelancong seperti hotel, Rumah Rehat Bukit Residen dan Rumah Rehat Tanjong Lipis yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hidangan makanan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar. 

Pihak berkuasa tempatan di sini dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan sedang giat mempromosi daerah ini malah menobatkan Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah di Pahang. Antara usaha mempromosikan bandar Kuala Lipis termasuklah menganjurkan Karnival Lipis, Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang dan menjadi tuan rumah program pameran serta seminar pertanian dan pelancongan sepanjang tahun ini. Orang ramai juga turut bekerjasama mengekalkan kebersihan bandar Kuala Lipis sebagai usaha membantu mempromosi daerah ini untuk tarikan lebih ramai pelancong datang ke Kuala Lipis.

 Sumber : Muzium Kuala Lipis